S. Suresh harap tuah anak di Paralimpik Tokyo

TOKYO, 22 OGOS – Juara memanah para dunia 2019, S Suresh mengharapkan kelahiran cahaya mata pertamanya bulan lepas mampu membawa tuah kepada beliau untuk merangkul pingat emas dalam Sukan Paralimpik Tokyo, yang bermula Selasa ini hingga 5 September.

Pemanah dari Sungai Petani, Kedah, percaya anaknya, S Monish yang selamat dilahirkan isterinya,  P Vikneswary, 31, pada tanggal 14 Julai lepas di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, membawa tuah dalam hidup beliau.

Bukan itu sahaja, atlet yang bakal menginjak ke usia 28 tahun pada Selasa ini, memaklumkan rezekinya juga melimpah ruah sejak kelahiran anak lelakinya itu termasuk menerima bantuan kewangan yang tidak disangka-sangka daripada Kerajaan Negeri Kedah dan peralatan daripada Majlis Sukan Negara (MSN).

”Dulu agak sukar untuk dapat bantuan namun saya merasakan sejak anak pertama lahir, banyak rezeki turun dan sebab itu saya yakin menang emas di Tokyo.

“Jika berjaya, saya akan hadiahkan pingat kepada isteri dan juga anak saya,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, pemanah yang bakal membuat kemunculan sulung pada temasya sukan berprestij itu sangat kecewa apabila tidak dapat berjumpa isterinya lebih dari empat bulan selain tidak dapat berada di sisi ketika melahirkan anak susulan situasi pandemik COVID-19 yang tidak mengizinkannya berbuat demikian. – Bernama