Thursday, May 1, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Saat mendebarkan buat Hamilton, Mercedes

    MEXICO CITY, 25 Okt – Lewis Hamilton tetap berdebar untuk perlumbaan di Mexico hujung minggu ini sebelum boleh melengkapkan formaliti gelaran dunia kelimanya di kejuaraan Formula Satu (F1).

    Hanya seminggu selepas tewas di Texas, perlumbaan yang menyaksikan Ferrari mengatasi mereka di Grand Prix (GP) Amerika Syarikat, Hamilton dan Mercedes harus membalut luka mereka bagi menghadapi cabaran lebih besar selepas ini.

    “Kami mempunyai satu pertarungan dalam tangan,” kata prinsipal pasukan Mercedes, Toto Wolff.

    “Namun ia menyediakan kami satu peluang untuk belajar dan kembali dengan lebih bertenaga.”

    Pandangan itu turut dikongsi pelumba Britain berusia 33 tahun Hamilton dan kesemua pasukan Mercedes, dengan mereka mahu kembali bangkit untuk mengekalkan gelaran baik dalam kejuaraan pemandu dan juga pengeluar.

    Hamilton ketika bercakap semasa sidang akhbar selepas melayakkan diri bagi GP AS di Litar Amerika di Austin, Texas pada 20 Oktober lalu. – AP

    “Kami harus terus berusaha untuk memenangi kedua-dua gelaran (pasukan dan pemandu),” kata Wolff. “GP Amerika Syarikat mengesahkan apa yang kami katakan sebelum perlumbaan iaitu pertarungan kejuaraan tahun ini masih jauh.”

    Memandangkan Hamilton sudah memenangi enam daripada lapan perlumbaan dan mendahului carta dengan kelebihan 70 mata daripada seteru utama Sebastian Vettel dari Ferrari tatkala saingan berbaki tiga pusingan, keputusan itu mungkin sukar digugat.

    Mercedes mendahului Ferrari dengan 66 mata dalam perebutan gelaran kejuaraan pengeluar.

    Di atas kertas, Hamilton hanya memerlukan lima mata untuk menyamai legenda juara lima kali dunia Juan Manuel Fangio dalam buku rekod kejuaraan tatkala Michael Schumacher satu-satunya pemandu yang meraih enam gelaran dunia.

    Untuk Mercedes menjamin gelaran pengeluar untuk kali kelima berturut-turut, mereka harus mengatasi Ferrari dengan 20 mata.

    Max Verstappen pula memenangi perlumbaan tahun lepas di Autodromo Hermanos Rodriguez, di mana udara nipis pada ketinggian 2,200 meter (7,200 kaki) di atas paras laut mengurangkan keberkesanan enjin dan meletakkan premium yang lebih tinggi kepada prestasi aerodinamik kereta.

    Rakan sepasukan Red Bull, Daniel Ricciardo, yang berang pada hujung minggu lalu dan menumbuk dinding setelah dipaksa bersara, akan bertekad untuk mendapatkan kemenangan terakhir sebelum meninggalkan pasukan untuk Renault musim depan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda