Sabah ambil pendekatan komprehensif atasi masalah lambakan sayur

KOTA KINABALU, 20 APRIL – Kerajaan negeri Sabah akan mengambil beberapa pendekatan komprehensif dan holistik dalam mengurus tadbir sistem bekalan serta pengagihan sayur-sayuran tanah tinggi di Kundasang bagi mengelakkan berlakunya masalah lambakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Sabah telah diminta mengambil perhatian perkara itu termasuk melihat keperluan para petani terjejas pendapatan atau mengalami kerugian berikutan sayur yang telah dituai tidak terjual dalam tempoh ini.

“Kementerian terbabit diminta mentadbir dengan baik perkara ini secara keseluruhan menggunakan pendekatan komprehensif kerana berkemungkinan akan berlaku lebihan bekalan kerana ada petani yang sudah menanam sayur-sayuran mereka.

“Kita tidak boleh menggalakkan petani kita seramai mungkin menanam sayur-sayuran dalam keadaan hari ini kerana kita tahu permintaan tidak ada, sama ada daripada pasaran domestik mahupun eksport.

Justeru, kita perlu tangani masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Joachim Gunsalam (PBS-Kundasang) dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, hari ini.

Joachim ingin tahu apakah bantuan khusus diberikan kepada para petani Kundasang terjejas kerana hasil tanaman yang sudah dituai tidak dapat dijual dalam tempoh PKP.

Menyedari hakikat itu, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri turut memberi sumbangan wang tunai kepada golongan berkenaan selain turut menyediakan bantuan pinjaman kewangan dengan faedah sifar kepada semua petani bagi menggalakkan penyertaan mereka dalam sektor pertanian selepas PKP ditamatkan kelak. – Bernama