Sabah benarkan operasi 44 jeti persendirian kendali sawit, petroleum

KOTA KINABALU, 28 APRIL – Kerajaan Sabah hari ini bersetuju membenarkan 44 jeti persendirian bagi pengendalian sawit dan petroleum untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong.

Beliau berkata kebenaran itu masing-masing membabitkan 10 jeti bagi aktiviti pengendalian minyak sawit dengan saluran paip; 32 jeti untuk aktiviti pemunggahan buah tandan segar kelapa sawit serta dua jeti bagi pengendalian petroleum dan gas.

“Keputusan membenarkan jeti persendirian ini beroperasi telah diputuskan menerusi Pusat Arahan COVID-19 Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini.

Safar berkata kerajaan Sabah turut bersetuju membenarkan 33 syarikat kilang baja berlesen di negeri ini meneruskan operasi untuk memenuhi keperluan tempatan sahaja dan bukan bagi tujuan eksport. – Bernama