Sabah bentang belanjawan hari ini

KOTA KINABALU, 8 Nov – Buat pertama kali, kerajaan negeri Sabah yang baharu pimpinan Parti Warisan Sabah bersama Pakatan Harapan (PH) dan UPKO bakal membentangkan belanjawan negeri esok.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata Belanjawan Sabah 2019 bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat’ itu merupakan belanjawan yang menyeluruh, walaupun berlandaskan kewangan yang terbatas dan kedudukan ekonomi negara dan dunia yang mencabar.

“Yang penting kepada kita ialah untuk memastikan supaya kita tidak mengabaikan usaha kita untuk membela rakyat di semua peringkat,” katanya kepada pemberita selepas menerima Belanjawan Sabah 2019 daripada Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan negeri Datuk Pg Hassanel Mohd Tahir di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata belanjawan itu, yang akan dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri pada pukul 3 petang esok, juga akan memperkenalkan pendekatan baharu untuk pembangunan golongan belia dan beberapa kejutan untuk rakyat.

“Kita (kerajaan negeri) sentiasa memikirkan rakyat. Kita akan pastikan rakyat dapat kita bela sebaik mungkin,” katanya.

Ketika ditanya pemberita mengenai spekulasi beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan berpaling tadah dan menyertai Gabungan Bersatu Sabah (GBS), Mohd Shafie menganggap perkara itu hanya spekulasi dan yakin ADUN Warisan, PH dan UPKO matang untuk memilih pihak mana untuk mereka sokong.

Baru-baru ini, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku Datuk Dr Jeffrey Kitingan mendakwa beberapa ADUN kerajaan sekarang akan melompat ke parti itu, yang juga parti yang menganggotai GBS, dalam masa terdekat. – Bernama

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meneliti isi kandungan buku ucapan Belanjawan Sabah 2019 bertajuk ‘Memacu Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat’ yang akan dibentangkannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini. – Bernama