Sabah catat kes bom ikan tertinggi

KUALA LUMPUR, 6 NOV – Sabah mencatat jumlah tertinggi kes penggunaan bom ikan sejak 2014 iaitu 234 kes daripada jumlah keseluruhan 239 kes, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin, daripada jumlah itu, 36 kes telah didakwa di mahkamah.

Bagi Sabah, ia merangkumi 55 tangkapan pada  2014, 38 tangkapan pada 2015, 43 pada 2016, 35 pada 2017, 24 tangkapan pada 2018 dan 39 tangkapan bagi 2019.

“Ini bermaksud hanya lima kes luar di Sabah, (masalah) ini sangat berleluasa di Sabah,” katanya pada sesi soal jawab lisan kepada pertanyaan Ahmad Hassan (Warisan-Papar) yang ingin tahu tindakan terhadap nelayan yang menangkap ikan di laut dengan menggunakan bom ikan. Bagi mengekang aktiviti pengeboman haram itu, Sim berkata pihaknya mengadakan sesi libat urus bersama nelayan setempat. – Bernama