KOTA KINABALU, 8 NOV – Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mahu anak buahnya kekal fokus dan mengelak mengulangi insiden bolos awal dalam misi wajib menang menentang Hai Phong FC dalam aksi keempat Kumpulan H saingan Piala AFC di Stadium Likas, esok.
Beliau berkata mentaliti seperti itu perlu dikekalkan sehingga wisel penamat bagi memastikan Sabah mampu mengekalkan rentak permainan dan segala perancangan serta strategi diatur dalam perlawanan mampu dilaksanakan dengan sempurna oleh pemain Skuad Badak itu.
“Kita tidak mahu dibolosi awal seperti perlawanan sebelum ini dan kita jadikan pengajaran…pastikan kekal fokus sehingga wisel penamat. Kita mahu menang esok dan layak secara automatik ke pusingan seterusnya,” katanya pada sidang media praperlawanan, hari ini.
Pada aksi ketiga di Stadium Lach Tray, Hanoi, Vietnam pada 25 Oktober lalu, Hai Phong menewaskan Sabah 3-2 dengan pasukan tuan rumah menjaringkan dua gol awal pada minit ke-14 dan ke-18.
Sabah FC memerlukan tiga mata penuh untuk kembali ke tangga teratas Kumpulan H sekali gus mencerahkan peluang untuk layak ke peringkat seterusnya.
Ditanya tentang kesebelasan esok, Kim Swee berkata beliau masih menilai pemain dengan mengambil kira faktor kembali pulih daripada kecederaan dan juga keletihan dalam kalangan pemain kebangsaan yang baru kembali ke dalam pasukan. – Bernama