KOTA KINABALU, 17 JUN – Pasukan Sabah FC mahu mengekalkan momentum kemenangan apabila berdepan dengan Sri Pahang FC dalam perlawanan Liga Super, yang akan berlangsung di Stadium Likas di sini, esok.
Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata kemenangan itu penting untuk memastikan kedudukan pasukan itu sentiasa terjamin, apatah lagi Sabah FC akan beraksi di hadapan penonton sendiri nanti.
Beliau berkata menjelang hari perlawanan, semua pemain berada dalam prestasi terbaik untuk diturunkan.
“Selain daripada itu semua pemain berada pada tahap yang cukup baik. Saddil (Ramdani), kita tahu bersama pasukan Indonesia baik pasukan Bawah 23, mahupun pasukan senior Indonesia.
“Beliau pasti mengalami sedikit keletihan tetapi kita akan lihat bagaimana daripada segi kepenatan Saddil ketika bersama pasukan Indonesia, untuk saya pertimbangkan sama ada beliau akan diturunkan ataupun tidak pada malam esok,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini. – Bernama