KOTA KINABALU, 20 SEPT – Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee meminta pemain skuad itu supaya tidak mengambil mudah pertemuan menentang Hougang FC dari Singapura dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2023 di Stadium Likas, esok.
Beliau berkata tiada tekanan untuk Skuad Badak mempamerkan permainan terbaik dalam perlawanan pertama saingan Kumpulan H itu kerana kebanyakan pemain mempunyai pengalaman luas termasuk bermain di peringkat antarabangsa.
“Kita ada pemain yang baik, apatah lagi bermain di tempat sendiri dengan penyokong sendiri…itu adalah kelebihan namun kita tidak boleh ambil mudah perlawanan ini.
“Saya masih ada kurang daripada 24 jam untuk memilih pemain dan kita harap semua pemain telah bersedia dan mampu memberikan yang terbaik dalam perlawanan itu nanti,” katanya pada sidang media, hari ini.
Mengenai sasaran dalam saingan Piala AFC, Kim Swee berkata Sabah FC tidak menetapkan sebarang sasaran tertentu, tetapi akan memberikan tumpuan kepada setiap perlawanan. – Bernama