KOTA KINABALU, 16 MAC – Kerajaan Sabah sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membangunkan semula sektor pelancongan sebagai persediaan menarik lebih ramai kehadiran pelancong ke negeri itu terutama apabila aktiviti pelancongan antarabangsa dibenarkan kelak.
Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkata ini termasuk memperkasa pembangunan infrastruktur, kemudahan asas pelancong dan produk pelancongan baharu serta menjalankan promosi secara lebih agresif bagi memastikan pemulihan industri pelancongan pada tahun ini adalah lebih baik.
“Kerajaan negeri dari semasa ke semasa, menjalin perkongsian pintar bersama syarikat penerbangan, ejen pelancongan dan pejabat Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia di luar negara bagi meneroka potensi pasaran baharu yang boleh dimanfaatkan oleh industri pelancongan negeri ini.
“Tumpuan juga akan diberikan untuk mempergiatkan aktiviti pelancongan domestik terutama produk pelancongan berasaskan komuniti yang sangat berpotensi membantu memulihkan sektor pelancongan khususnya ketika penutupan pintu sempadan antarabangsa masih berkuat kuasa,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar kerajaan sempena istiadat pembukaan penggal ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor, ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam serta Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M Yahya.
Mengulas lanjut, Juhar berkata kerajaan Sabah turut mempunyai perancangan holistik untuk memastikan keunikan dan kepelbagaian etnik, warisan dan budaya serta kekayaan alam semula jadi kekal relevan sebagai aset dan daya tarikan utama pelancongan di Sabah.
Bagi tujuan itu, katanya pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program berkaitan pengukuhan hubungan etnik, pembangunan budaya dan warisan serta konservasi kepelbagaian biologi dan alam sekitar akan dipergiatkan.
Di samping itu juga pelbagai kajian berkaitan alam sekitar akan dilaksanakan dalam usaha untuk memperkasakan pengurusan alam sekitar, dengan hasil kajian tersebut akan menyumbang kepada perancangan serta pembangunan alam sekitar yang mampan, katanya. – Bernama