Sabah hantar pulang 658 PATI

SANDAKAN, 17 Mei – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah telah menghantar pulang seramai 658 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dan Indonesia masing-masing ke negara asal semalam.

Pengarah MKN Sabah Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata daripada jumlah itu, 560 orang dari Filipina terdiri daripada 308 lelaki, 152 wanita, 57 kanak-kanak lelaki dan 43 kanak-kanak perempuan.

Manakala warga Indonesia seramai 98 orang terdiri daripada 71 lelaki, 23 wanita, tiga kanak-kanak lelaki dan satu kanak-kanak perempuan.

“Sehingga semalam, jumlah PATI yang dihantar pulang tahun ini adalah 5,058 orang.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan penghantaran pulang PATI sejak tahun 1990 adalah 582,139 orang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sh Sitti Saleha berkata MKN Sabah terus komited meningkatkan usaha untuk memastikan Sabah bebas daripada PATI dan meminta kerjasama rakyat di negeri untuk menjayakan usaha itu, terutama untuk tidak menggaji atau melindungi PATI. – Bernama