Sabah harap pembukaan makmal ujian COVID-19 dipercepat

KOTA KINABALU, 15 APRIL – Kerajaan Sabah berharap pembukaan dua makmal bagi menjalankan ujian pengesanan COVID-19 di negeri ini iaitu Tawau dan Sandakan dapat dipercepatkan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata pembukaan kedua-dua makmal itu amat penting memandangkan daerah terbabit tidak mempunyai kemudahan tersebut dan terpaksa menghantar sampel COVID-19 ke Kota Kinabalu.

“Hal ini akan memakan masa untuk ujian dilakukan, selain terpaksa menunggu (giliran) kerana (Sabah) tidak mempunyai reagen yang cukup,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas usaha Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menambah lima lagi makmal baharu dalam masa terdekat bagi menjalankan ujian pengesanan COVID-19.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata penambahan lima makmal itu termasuk di Tawau dan Sandakan selain tiga lagi di Miri dan Bintulu, Sarawak serta Kluang, Johor. – Bernama