Sabah hargai bantuan AS dalam memerangi COVID-19

KOTA KINABALU, 17 OGOS – Kerajaan Sabah menzahirkan penghargaan kepada Amerika Syarikat (AS) atas bantuan kepada Malaysia khususnya negeri ini dalam memerangi pandemik COVID-19, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Menerusi satu panggilan video kepada Duta Besar AS ke Malaysia Brian D. Mcfeeters semalam, Hajiji berkata kerajaan negeri dan AS sentiasa menjaga hubungan dua hala yang baik dan mesra.

“AS telah menyumbangkan satu juta dos vaksin ke Malaysia dan memberi jaminan tambahan bantuan berkaitan COVID-19 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia. Kami berterima kasih atas bantuan yang diberikan oleh AS kepada Malaysia dan Sabah dalam bidang pendidikan, pemuliharaan alam dan baru-baru ini usaha mengekang pandemik COVID-19.

“Bantuan ini akan mempercepatkan usaha kita dalam menangani cabaran disebabkan wabak COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hajiji juga berterima kasih kepada komitmen duta besar mengenai peruntukan AS$1 juta untuk usaha pemuliharaan hidupan liar bagi melengkapkan program mengenai perlindungan hidupan liar yang sedang diadakan di Sabah.

Mcfeeters juga menawarkan kerjasama dalam pemuliharaan hutan, berpandukan kepada program Heart of Borneo (HoB), inisiatif pemuliharaan rentas sempadan yang meluas ke Brunei, Indonesia dan Malaysia.

Menurut kenyataan itu, Hajiji dan Mcfeeters berbicara mengenai pelbagai isu termasuk MA63, pemerdagangan manusia, pendatang haram, dan kerjasama Kedutaaan AS dengan Universiti Malaysia Sabah dalam menangani keganasan dan ekstremisme yang ganas. – Bernama