Sabah, Jepun kongsi idea sama bagi ekopelancongan

KOTA KINABALU, 17 NOV – Sabah dan Jepun berkongsi idea yang sama mengenai pelancongan mampan dan ekopelancongan, yang mampu memikat lebih ramai pelancong Jepun berkunjung ke ‘Negeri Di Bawah Bayu’ itu.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai berkata pelancongan luar bandar di negeri itu mampu menjadi tumpuan pelancong Jepun yang ingin merasai pengalaman ‘shinrin-yoku’ atau ‘mandian hutan’, satu konsep digunakan di ‘Negara Matahari Terbit’ itu untuk menggalakkan rakyatnya meluangkan masa bersama alam semula jadi.

“STB sentiasa bekerjasama dengan rakan kongsi kami di Jepun bagi mempromosikan Sabah sebagai destinasi pilihan. Sudah tentu dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa pada tahun depan, kami berharap dapat mengalu-alukan kedatangan semula pelancong Jepun,” katanya dalam kenyataan hari ini. Bangkuai yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), bertukar-tukar pandangan dengan Pengarah Urusan Japan Travel Bureau (JTB) bagi Malaysia Kiyoshi Fujita mengenai potensi dan prospek Sabah untuk menarik lebih ramai pelancong Jepun ke negeri ini, pada majlis makan tengah hari di sini, semalam.

Sementara itu, Fujita berkata keindahan alam semula jadi Sabah serta tarikannya yang banyak berpotensi menarik pelancong Jepun sekali gus meninggalkan tanggapan positif terhadap negeri itu. – Bernama