Sabah juara Liga Premier

KUALA LUMPUR, 10 JULAI – Pasukan Sabah menamatkan penantian tujuh tahun untuk kembali ke saingan Liga Super, selepas menewaskan UiTM FC 2-1 di Stadium UiTM, Shah Alam, semalam.

Kemenangan tipis berkenaan sudah cukup memadai untuk skuad Badak muncul juara Liga Premier dengan kutipan 40 mata, setelah pencabar terdekat mereka, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) yang mengutip 33 mata selepas 19 perlawanan, tewas di tempat lawan.

Untuk rekod, kali terakhir Sabah beraksi pada Liga Super 2012 yang menyaksikan mereka menduduki tangga ke-13.

Pada aksi di Shah Alam, UiTM FC berada di hadapan hasil jaringan Zarko Korac pada minit ke-30, sebelum Sabah bangkit menjaringkan dua gol menerusi sepakan penalti Rodoljub Paunovic pada minit ke-57 dan gol padang Aguinaldo Mendes Veiga pada minit ke-66.

JDT II pula tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sekali gus meranapkan harapan mereka untuk mengejar Sabah di puncak liga.

Tiga jaringan Negeri Sembilan dihasilkan menerusi Jose Almir Barros Neto pada minit ke-11, Matheus Fernandes Vila Real pada minit ke-62 dan Igor Carneiro Luiz pada minit ke-86, manakala gol tunggal JDT II disumbangkan Md Rozaimi Abd Rahman, menerusi sepakan penalti pada minit ke-28. – Bernama

Pemain Sabah melambungkan ketua jurulatihnya, Jelius Tabias Ating (tengah) selepas pasukan itu berjaya menundukkan UiTM FC dengan keputusan 1-2 dan menjadi juara liga, sekali gus melayakkan ke Liga Super musim hadapan. – Bernama