Tuesday, April 23, 2024
25.2 C
Brunei

    -

    Sabah kekal tarikan orang Brunei

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Semenjak pembukaan aktiviti rentas sempadan sama ada melalui laluan udara dan darat, dianggarkan seramai 20,000 penduduk Negara Brunei Darussalam telah berkunjung ke Sabah sekitar bulan Januari hingga September tahun ini.

    Kota Kinabalu merupakan destinasi yang sering menjadi tarikan utama oleh para pelawat setiba mereka di Sabah sebelum menerokai tempat-tempat lain.

    Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Sabah Tourism Board, Dayang Noredah Othman semasa ditemui penulis pada Majlis Makan Malam anjuran Sabah Tourism Board di Horizons Sky Bar and Cigar Lounge, The Pacific Sutera Hotel, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia, baru-baru ini.

    Adapun majlis tersebut merupakan salah satu program yang telah disusun dalam lawatan pengenalan Kota Kinabalu, termasuk Kudat dan Kota Belud, Sabah yang berlangsung selama empat hari tiga malam di bawah kendalian Tourism Malaysia Brunei Darussalam dengan kerjasama Sabah Tourism Board, bermula 24 hingga 27 November lalu.

    Lawatan daripada seramai 10 pengamal media dan agensi pelancongan tempatan yang diketuai oleh Pemangku Pengarah Tourism Malaysia Brunei Darussalam, Latifah binti Dato Haji Ismail dan disertai bersama Eksekutif Pemasaran, Tourism Malaysia Brunei Darussalam, Pengiran Haji Noorazemy bin Pengiran Haji Othman juga selaku pegawai projek bagi lawatan itu juga berpeluang menerokai tempat-tempat menarik di negara jiran berkenaan.

    Dayang Noredah, Dayang Latifah, Pengiran Haji Noorazemy, Awang Hipni dan ahli rombongan bergambar ramai semasa majlis berkenaan.
    Ahli rombongan tidak melepaskan peluang menyaksikan keindahan matahari terbenam dari aras 12 hotel berkenaan.

    Hadir sama pada acara itu ialah Konsul Agung, Konsulat Agung Negara Brunei Darussalam di Sabah, Awang Hipni bin Matarsad; dan Konsul, Konsulat Agung Negara Brunei Darussalam di Sabah, Pengiran Runa bin Pengiran Haji Maslon.

    Selain itu, beberapa orang wakil agensi pelancongan Sabah turut hadir bagi memeriahkan majlis tersebut.

    Dayang Noredah turut menambah sebagai pendekatan terbaharu dalam meningkatkan hubungan dua hala menerusi aspek pemasaran dalam pelancongan, Sabah Tourism Board sebelum ini telah mengikuti salah satu ekspo pelancongan yang berlangsung di Negara Brunei Darussalam, Oktober lalu.

    “Sejak dulu lagi, orang-orang Brunei merupakan jumlah pelancong tertinggi yang berkunjung ke Sabah. Antara faktor tarikan kunjungan itu adalah kemudahan dari segi perjalanan dengan dua pilihan utama sama ada melalui darat mahupun udara.

    “Pastinya kami merasakan hadirnya masyarakat Brunei ke Sabah menjadi salah satu pasaran pelancongan yang amat penting dan begitu bermakna bagi kami secara keseluruhannya,” tambahnya.

    Dayang Noredah turut mengalu-alukan penduduk Brunei untuk menerokai kawasan-kawasan daerah yang lain seperti Kudat, Kota Belud, Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Semporna.

    Di akhir majlis, Latifah turut menyampaikan cenderahati kenangan daripada Tourism Malaysia Brunei Darussalam kepada Dayang Noredah sebelum bersurai.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...