KUALA LUMPUR, 14 FEB – Hanya 5,000 daripada hampir 115,000 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Kelantan telah mendaftar untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids), setakat semalam.
Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata bagi memastikan angka itu terus meningkat, pihaknya kini sedang bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan negeri untuk menjayakan PICKids yang bermula di negeri itu hari ini.
“Kita perlu bekerja keras kerana masih ada lagi ibu bapa yang belum membuat keputusan dan tidak menolak kemungkinan ramai dalam kalangan mereka mengambil pendekatan tunggu dan lihat untuk vaksinasi kanak-kanak ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan PICKids Peringkat Negeri Kelantan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu, hari ini.
Dalam pada itu, di Sabah, sebanyak 9,686 atau 2.35 peratus daripada 411,400 kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di Sabah telah me-nerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids), setakat ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata angka itu sangat rendah mengambil kira risiko jangkitan yang tinggi serta jumlah kanak-kanak di bawah umur 11 tahun dijangkiti wabak berkenaan setiap hari.
Justeru, Masidi yang juga jurucakap COVID-19 Sabah menyarankan ibu bapa di negeri itu mengambil inisiatif memastikan anak-anak berumur lima hingga 11 tahun diberi vaksin demi melindungi mereka daripada jangkitan COVID-19. – Bernama