Sabah laksana larangan merokok mulai 1 Februari

KOTA KINABALU, 9 Jan – Sabah akan mula melaksanakan larangan merokok di premis makanan bermula 1 Februari ini, kata Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri Datuk Stephen Wong Tien Fatt.

Menurut beliau, keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat kabinet yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini.

Ini akan memberi masa kepada semua agensi dan pemilik premis terlibat untuk membuat persiapan bagi pelaksanaan peraturan ini.

Penguatkuasaan sepenuhnya peraturan ini hanya akan dilaksanakan pada 1 Julai. Sehingga 30 Jun, kementerian bersama Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah akan melaksanakan penguatkuasa pendidikan, katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Wong berkata sungguhpun makluman awal telah dibuat mengenai pewartaan yang dipinda ini pada akhir tahun lepas, pihak Kerajaan Negeri Sabah tidakada menerima makluman bertulis.

Ini menyebabkan kekeliruan mengenai penguatkuasaan peraturan ini di Sabah, katanya. Menurutnya, sebab itu Kerajaan Negeri membuat keputusan menangguh pelaksanaan peraturan itu sehingga dibincangkan dalam mesyuarat kabinet negeri.

Kerajaan Negeri prihatin terhadap kesihatan penduduk negeri ini dan menyokong penuh usaha Kerajaan Persekutuan. Beliau berkata secara prinsipnya Kerajaan Negeri menyokong pelaksanaan peraturan larangan merokok kawasan tempat makan samada berhawa dingin dan terbuka.

Wong berkata sebelum ini kerajaan negeri telah melaksanakan Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di mana terdapat 23 larangan merokok termasuklah di restoran berhawa dingin dan pensijilan Blue Ribbon sejak 2014 isytiharkan premis sebagai kawasan bebas asap rokok secara sukarela.– Bernama