Sabah laksana saringan bersasar

KOTA KINABALU, 19 APRIL – Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) melaksanakan aktiviti saringan bersasar di lokaliti tertentu di negeri ini bagi mengesan kes-kes COVID-19 dalam kalangan masyarakat.

Pengarahnya Datuk Dr Christina Rundi berkata sehubungan itu, beliau meminta orang ramai memberi kerjasama semasa aktiviti itu dilaksanakan dan tidak cuba untuk mengelak daripada disaring kerana tidak mahu dikuarantin.

“Sekali lagi, orang awam dinasihatkan untuk tidak bersikap negatif terhadap mereka yang dikenakan kuarantin kerana ini boleh menyukarkan pelaksanaan aktiviti saringan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata sehingga Jumaat lepas seramai 75 orang telah ditempatkan di 24 pusat kuarantin di seluruh Sabah menjadikan kumulatif yang masih berada di pusat kuarantin seramai 681 orang.

Katanya seramai 127 orang telah dibenarkan pulang Jumaat lepas menjadikan kumulatif discaj kuarantin sehingga tempoh berkenaan seramai 1,196 orang.

Mengulas mengenai jangkitan baharu COVID-19, Christina berkata terdapat 10 kes baharu COVID-19 dilaporkan semalam iaitu tiga di Lahad Datu, Tawau (2) dan masing-masing satu (1) kes di daerah Beaufort, Kota Kinabalu, Penampang, Sandakan dan Tuaran, sekali gus menjadikan jumlah kes COVID-19 keseluruhan bagi Sabah sebanyak 303 kes.

Sementara itu, beliau berkata Pasukan Mental Health Psychosocial Support (MHPSS) telah memberi 611 intervensi, 101 kaunseling dan 126 psikoedukasi kepada pesakit, mereka yang dikenakan kuarantin di rumah dan anggota kesihatan di daerah Keningau.

“Pelbagai bentuk intervensi juga dijalankan bagi menangani stigma ke atas pesakit COVID-19. Antaranya adalah inisiatif ‘Covid League Board’ untuk memberikan semangat kepada semua individu yang sedang berjuang semasa wabak COVID-19 di daerah Keningau,” tambahnya. – Bernama