Sabah lancar 316 KPI

KOTA KINABALU, 6 Dis – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini melancarkan 316 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi 12 kementerian kerajaan negeri sebagai indikator pencapaian negeri dalam mencapai sasaran yang telah ditetapkan dalam tempoh lima tahun akan datang.

KPI yang merangkumi 10 Bidang Keberhasilan Negeri itu memetakan fokus dan hala tuju semua kementerian, jabatan dan agensi termasuklah pemimpin dalam kerajaan, pemegang taruh dan penjawat awam agar program-program yang dirancang benar-benar memenuhi keperluan dan kehendak rakyat.

Sepuluh Bidang Keberhasilan Negeri yang berimpak tinggi dan berupaya melestarikan kemajuan dan kemakmuran rakyat Sabah itu ialah jaminan hak dan kepentingan rakyat; keselamatan, perpaduan dan keharmonian rakyat; pembangunan prasarana dan infrastruktur; pemilikan tanah dan pelajaran, inovasi, pembangunan belia dan sukan.

Lima lagi Bidang Keberhasilan Negeri ialah peningkatan kualiti kesihatan awam dan kesejahteraan rakyat; pelancongan, perlindungan dan pemuliharaan alam semula jadi; pembangunan ekonomi dan sosioekonomi setempat; warisan, keagamaan, kepercayaan etnik dan institusi kekeluargaan; dan peningkatan keupayaan perkhidmatan awam.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran KPI yang dihadiri 1,200 penjawat awam negeri dan persekutuan di sini, Mohd Shafie berkata dengan adanya KPI itu kerajaan akan dapat memantau sejauh mana pencapaian dasar kerajaan negeri dan sejauh mana ia juga selaras dengan rintihan rakyat yang dahagakan perkhidmatan yang baik.

“Dengan itu, langkah ini (pelancaran KPI), (ia) amat kita alu-alukan bukan hanya untuk pastikan kita lebih fokus untuk mencapai matlamat yang kita telah gariskan, kita (juga akan) tahu haja tuju kita dalam perkhidmatan awam dan bagaimana sistem dan struktur yang kita sediakan, termasuk unit pemantauan yang kita akan wujudkan. Walaupun KPI ini ialah untuk satu penggal (lima tahun), saya juga akan pantau setiap tahun. Setiausaha Kerajaan Negeri akan pantau setiausaha-setiausaha tetap setiap kementerian dan saya akan pantai setiap menteri sebab setiap menteri pun ada KPInya,” katanya. – Bernama

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika melancarkan Buku Petunjuk Prestasi Utama Kerajaan Negeri Sabah selepas melancarkan KPI dan Bidang Keutamaan Negeri sempena Hari Perkhidmatan Awam di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, Kelmarin. – Bernama