KOTA KINABALU, 27 SEPT – Kerajaan negeri Sabah hari ini melancarkan portal Skim Jaya Usahawan Belia (Syabas) sebagai inisiatif baharu dalam memacu gerakan pembangunan ekonomi serta pengukuhan golongan belia Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor melancarkan inisiatif yang diperkenalkan dalam Belanjawan Negeri 2022 itu di Menara Kinabalu di sini.
Menurut kenyataan Pejabat Media dan Komunikasi, Jabatan Ketua Menteri, program berkenaan adalah inisiatif yang dirintis oleh Hajiji melalui aspirasi yang disuarakan generasi muda bagi membantu belia Sabah mengembangkan perniagaan sedia ada mahupun memulakan perniagaan baharu.
“Kerajaan negeri memperuntukkan RM10 juta untuk program Syabas bagi menyediakan bantuan kewangan kepada para usahawan belia. Sasaran program ini adalah belia Bumiputera Sabah berumur 18 hingga 40 tahun.
“Dana bagi belia yang ingin memulakan dan mengembangkan perniagaan dalam bentuk bantuan kewangan kecil, dan dana itu akan diselia oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah dengan kerjasama Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR),” menurut kenyataan.
Kenyataan itu memaklumkan antara objektif program Syabas termasuk membantu usahawan belia memulakan perniagaan setelah kehilangan pekerjaan selepas pandemik COVID-19 dan membantu mengembangkan produk serta operasi perniagaan mereka.
Program itu juga menjadi platform dalam membantu para usahawan belia membina rangkaian antarabangsa menerusi aktiviti perniagaan eksport dan import seterusnya memantapkan lagi perniagaan golongan berkenaan. – Bernama