Sabah lancar Sistem Aplikasi Profil Kampung

KOTA KINABALU, 24 FEB – Kerajaan Sabah hari ini melancarkan Sistem Aplikasi Profil Kampung bagi menambah baik tadbir urus Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah seterusnya mempertingkat prestasi sistem penyampaian kementerian berkenaan menerusi pendigitalan.

Sistem dibangunkan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah dengan kerjasama Sabah.Net itu kini telah digunakan di pejabat daerah dan aplikasi tersebut antara lain berperanan sebagai pangkalan data pembangunan setiap kampung di seluruh negeri.

Majlis pelancaran sistem itu disempurnakan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang turut disaksikan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick pada Persidangan Pegawai Daerah Sabah yang ke-24, di sini.

Turut hadir ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Jaujan Sambakong, Datuk Wilfred Madius Tangau dan Datuk Christina Liew serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong. – Bernama