Sabah lanjut tangguh aktiviti di masjid, surau sehingga 31 Mac

KOTA KINABALU, 24 MAC – Sabah melanjutkan arahan penangguhan aktiviti solat berjemaah dan solat Jumaat di setiap masjid serta surau di seluruh negeri sehingga 31 Mac ini selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berkuat kuasa ketika ini.

Mufti Sabah Datuk Bungsu Aziz Jaafar berkata sebelum ini, arahan penangguhan itu ditetapkan sehingga 26 Mac, namun, berdasarkan situasi terkini wabak COVID-19 yang semakin kritikal dengan penambahan pesakit setiap hari di Sabah, pihaknya mengambil keputusan untuk melanjutkan tempoh penangguhan sehingga 31 Mac.

Bungsu berkata Majlis Fatwa Negeri Sabah memutuskan perkara itu setelah mengambil kira asas-asas syarak serta maqasid syariah demi kemaslahatan dan kebaikan umat Islam Sabah, dan menurutnya, pelanjutan atau penamatan tempoh itu tertakluk kepada nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM). “Keputusan ini akan melibatkan penangguhan solat Jumaat pada 27 Mac 2020. Ahli Qaryah wajib solat fardu zuhur di tempat kediaman ma-sing-masing pada tarikh berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. – Bernama

Pintu utama Masjid Negeri Sabah ditutup kepada orang ramai. Sabah melanjutkan arahan penangguhan aktiviti solat berjemaah dan solat Jumaat di setiap masjid serta surau di seluruh negeri sehingga 31 Mac ini. – Bernama