Sabah lulus RUU perbekalan tambahan pertama 2020

KOTA KINABALU, 21 APRIL – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan Tambahan Pertama 2020 bernilai RM533 juta bagi keperluan program di bawah Pakej Bantuan COVID-19 Sabah.

Speaker DUN Sabah Datuk Syed Abas Syed Ali ketika mengumumkan perkara itu berkata, RUU yang dibentang Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang juga Menteri Kewangan negeri ini diluluskan selepas bacaan kali ketiga.

Mohd Shafie ketika membentangkan RUU itu berkata peruntukan tambahan itu turut mengambil kira pengurangan hasil-hasil tidak dikutip kerajaan negeri mahupun pihak berkuasa tempatan, selain pembayaran balik pemberian diskaun bil elektrik.

“Sebahagian besar jumlah anggaran perbekalan tambahan 2020 ini diperlukan bagi tujuan pelarasan akaun pendahuluan diri yang digunakan terlebih dahulu melalui kementerian dan jabatan yang dikenal pasti terlibat dalam penyaluran peruntukan atas bantuan kepada kumpulan sasar,” kata Mohd Shafie ketika membentangkan RUU itu. – Bernama