Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sabah mampu catat pertumbuhan pesat – Dr Mahathir

    KOTA KINABALU, 17 Sept – Sabah berkeupayaan untuk membangun lebih pesat lagi selepas mencatatkan banyak kemajuan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

    Katanya beliau kagum dengan landskap Sabah selepas tiba di ibu negeri ini semalam untuk menghadiri sambutan Hari Malaysia malam tadi dan percaya negeri ini mempunyai potensi tinggi untuk menjadi negeri maju.

    “Saya sudah lama tidak berkunjung ke Sabah, bandarnya kini agak bersih.

    “Saya fikir apa yang patut dilakukan (untuk membangunkan lagi Sabah) adalah untuk mengenal pasti aset-aset Sabah, yang boleh dieksploitasi. Anda mempunyai tanah, gunung, laut dan pantai dan suhu rendah, yang mungkin sesuai untuk menanam sayur-sayuran,” katanya kepada pemberita selepas bersarapan pagi bersama-sama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta menteri Kabinet persekutuan dan negeri.

    Mahathir turut menzahirkan kebimbangan dengan kos sara hidup tinggi yang ditanggung rakyat Sabah akibat rasuah dalam pentadbiran terdahulu, tetapi tidak menafikan terdapat juga faktor lain yang menyumbang kepada kos tinggi seperti pelaksanaan dasar kabotaj.

    Beliau turut mengesyorkan Sabah mewujudkan industri automotif bagi membolehkan pengeluar kereta memasang produk mereka di negeri itu.

    “Industri boleh datang ke sini kerana di masa depan, Sabah bakal menjadi pengeluar petrokimia berikutan pengeluaran dasar laut akan bermula dalam waktu terdekat,” katanya.

    Ditanya pemberita berapa cepat kerajaan Persekutuan akan mengambil masa untuk membuat keputusan dalam menaikkan royalti minyak dan gas Sabah daripada 5 peratus kepada 20 peratus, Dr Mahathir berkata wujud keperluan untuk mengekalkan kemantapan Petroliam Nasional Bhd’s (Petronas) terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk membayar royalti 20 peratus kepada Sabah.

    “Kami tidak mahu membunuh Petronas. Petronas ialah syarikat yang unik kerana ia bukan sahaja satu-satunya syarikat minyak negara yang melakukan cari gali, pembangunan, pengeluaran dan petrokimia, dan pihak dari seluruh dunia meminta Petronas bekerja di negara mereka,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda