Sabah mampu kuasai sukan memanah

KOTA KINABALU, 4 MAC – Sabah bertekad untuk muncul sebagai kuasa besar sukan memanah di negara ini dengan merangka program berimpak tinggi dalam memperkasakan proses pembangunan sukan tersebut di negeri itu.

Matlamat Persatuan Memanah Negeri Sabah (SSAA) itu bukan mustahil kerana mereka telah melahirkan ramai pemanah berbakat dan berprestasi tinggi di kejohanan peringkat kebangsaan, Asia dan antarabangsa.

Biarpun impian itu merupakan satu tugas berat namun presidennya, Dzulkarnain Dzulkifli, berkata mereka perlu membuktikan bahawa semua pemanah di negeri itu mempunyai ciri-ciri untuk mencapai kemenangan di peringkat antarabangsa.

“Hanya dengan kejayaan di peringkat pelbagai peringkat, barulah kami dapat meminta lebih banyak peruntukan bagi menyokong matlamat kami,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Bagi mengejar impian itu, SSAA telah melaksanakan inisiatif berimpak tinggi iaitu program SUKMA 2022, Bakat Negeri, PembangunanJurulatih dan Hakim, Program Pembangunan Bawah 10 Tahun serta menganjurkan lebaih banyak kejohanan di peringkat negeri.

Beliau berkata SSAA khususnya memberi penekanan kepada program pembangunan bawah 10 tahun sebagai persediaan pemanah muda untuk kejohanan peringkat negeri bawah 12 tahun.

“Bagi menguji keberkesanan dan pencapaian program ini, SSAA buat pertama kali menganjurkan kejohanan peringkat negeri bawah 10 tahun di Sekolah Sukan Malaysia Sabah pada November 2018.

“Respons amat menggalakkan dengan 92 peserta mewakili daerah di seluruh negeri mengambil bahagian. Justeru, kami memutuskan untuk mengadakannya sebagai sirkit siri 1 dan 2,” katanya.

Bagi Program Bakat Negeri, semua persatuan daerah dikehendaki mengemukakan nama pemanah terbaik mereka kepada SSAA supaya boleh disenaraikan untuk kejohanan peringkat yang lebih tinggi, katanya. – Bernama