KOTA KINABALU, 18 JAN – Kerajaan Sabah hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pelabur bagi pelaksanaan tiga projek bernilai kira-kira RM4.3 bilion.
Pemeteraian dokumen itu disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dengan MoU pertama antara Yayasan Sabah dengan Pavilion Kota Kinabalu Sdn Bhd bagi projek bandar raya dikenali sebagai Pavilion Harbour City dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan sebanyak RM2 bilion.
Pembangunan di kawasan daratan seluas 30 ekar (12 hektar) bersebelahan Sabah International Convention Centre (SICC) dan dijangka siap dalam tempoh 10 tahun itu merangkumi pembinaan kediaman, restoran tepi laut, pasar nelayan, penginapan hotel mewah, lokasi peranginan serta aktiviti rekreasi.
Pada majlis itu Yayasan Sabah diwakili oleh Pengarahnya Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar manakala Pavilion Kota Kinabalu Sdn Bhd diwakili oleh Pengarahnya Jameson Pias. – Bernama