‘Sabah New Deal’ tumpu pertanian, akuakultur

KOTA KINABALU, 19 JUN – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah memuji langkah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memberi penekanan dalam sektor pertanian dan akuakultur menerusi ‘Sabah New Deal’  yang diumumkan semalam.

“Sektor pertanian akan menerima RM59.3 juta daripada peruntukan keseluruhan RM240 juta.

Ia melibatkan kira-kira suku atau 24.7 peratus daripada keseluruhan pakej rangsangan itu,” kata menterinya Datuk Junz Wong hari ini.

Wong berkata ketua menteri mengumumkan peruntukan besar itu berikutan kerajaan negeri Sabah mengiktiraf peranan penting sektor pertanian dan akuakultur yang menjadi tulang belakang kepada ekonomi Sabah.

“Daripada keseluruhan RM59.3 juta itu, RM25 juta adalah bagi pembayaran pinjaman tanpa faedah, RM13.2 juta untuk penubuhan enam pusat pengumpulan dan RM21.1 juta akan dibelanjakan bagi menambah baik infrastruktur dan logistik Pemasaran Perikanan Sabah (SAFMA),” katanya.

Beliau berkata peruntukan itu akan membantu Sabah menghidupkan kembali ekonominya dan rakyat negeri itu yang berhasrat memulakan semula usaha sama mereka.

“Pinjaman tanpa faedah itu bertujuan membantu petani, usahawan tani dan penggiat hiliran untuk meringankan beban kewangan mereka. Sabah akan berdepan masalah besar sekiranya ramai yang terpaksa menutup operasi akibat kekangan kewangan.” – Bernama