Sabah pastikan keperluan pesakit talasemia dapat disediakan

KOTA KINABALU, 9 SEPT – Kerajaan negeri akan terus memastikan segala keperluan untuk pesakit talasemia di Sabah akan dapat disediakan oleh pihak berkaitan, terutamanya Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata ia termasuk membekalkan semua rawatan secara percuma, memastikan pesakit mendapat rawatan dan menerima bekalan darah yang selamat, rawatan pemindahan tulang sum-sum dan rawatan terapi stem sel secara
percuma.

“Ia sejajar dengan harapan kerajaan negeri supaya matlamat Persatuan Talasemia Sabah untuk memutuskan rantaian talasemia ‘major’ di negeri ini tercapai.

“Kebajikan pesakit talasemia yang layak juga tidak disisihkan daripada menerima bantuan dalam bentuk kewangan daripada Jabatan Kebajikan Negeri Sabah,” katanya ketika berucap secara maya pada majlis penutupan sambutan Hari Talasemia Sedunia tahun 2021 peringkat negeri di sini hari ini.

Hajiji berkata berdasarkan statistik pada 2019, Sabah mencatatkan seramai 1,829 pesakit talasemia daripada 8,178 pesakit di seluruh negara.

Beliau berkata ketiadaan ubat bagi penyakit itu menyebabkan pesakit talasemia terpaksa bergantung kepada transfusi darah sepanjang hayat dan kos rawatan itu dianggarkan mencecah sehingga RM3 juta bermula seawal umur setahun hingga 30 tahun. – Bernama