Sabah, pemimpin rakam takziah atas pemergian Tun Sakaran Dandai

KOTA KINABALU, 30 OGOS – Kerajaan Sabah hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Sakaran Dandai yang meninggal dunia di Hospital Gleneagles di sini, awal pagi ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dalam kenyataan hari ini berkata isteri Allahyarham Toh Puan Siti Rukaiyah Abdullah serta keluarga diharap sabar menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu berkenaan.

Beliau berkata hari ini negara khususnya negeri Sabah kehilangan seorang negarawan yang sangat berjasa terutama dalam bidang politik, pentadbiran dan agama.

“Tun Sakaran adalah pemimpin politik yang berpengaruh di negeri ini, mari bersama kita mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama hamba yang dikasihi Allah SWT.

“Jasa dan sumbangan Allahyarham Tun Sakaran sama ada dalam politik, pentadbiran dan agama amat besar nilai dan maknanya untuk negeri dan negara,” katanya.

Sakaran, 91, meninggal dunia di Hospital Gleneagles di sini pada pukul 5.30 pagi tadi, setelah lima hari dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital itu akibat jangkitan COVID-19, sejak dimasukkan pada 18 Ogos lepas.

Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian Sakaran yang dianggapnya seperti bapanya sendiri malah menurutnya Allahyarham merupakan antara pemimpin yang memperkenalkan dirinya ke dunia politik lebih 35 tahun dahulu.

Seorang lagi bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengajak orang ramai agar bersama mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh.

Presiden Parti Cinta Sabah Datuk Seri Anifah Aman yang juga bekas Menteri Luar Negeri berkata rakyat Sabah menerima khabar sedih dengan pemergian seorang tokoh agama, politik dan pejuang negeri. – Bernama

Jenazah bekas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Sakaran Dandai dibawa untuk dikebumikan di Makam Pahlawan Masjid Negeri. Sakaran, 91, meninggal dunia di Hospital Gleaneagles di sini. – Bernama