Sabah perhebat basmi kemiskinan

KOTA KINABALU, 10 Julai – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan memperhebatkan program pembasmian kemiskinan di negeri ini bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar di Sabah.

Sehubungan itu, Menterinya Ewon Benedick berkata beliau akan melihat semula semua program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan sebelum ini bagi mengenal pasti prestasi program berkenaan.

“Minggu ini, saya akan memulakan lawatan ke daerah-daerah untuk melihat sendiri prestasi Program Pembasmian Kemiskinan, terutamanya melibatkan Program Mini Estate Sejahtera (Mesej) Kelapa Sawit, Getah dan Akuakultur.

“Tujuannya adalah untuk melihat sejauh mana kejayaan program berkenaan, sama ada ia berjaya memperbaiki kehidupan para peserta program atau sebaliknya.

“Daerah pertama yang saya akan lawat ialah Kota Marudu dan Pitas pada Jumaat dan Sabtu minggu ini. Ini adalah sebahagian daripada aspirasi saya di KPLB iaitu melihat semula program pembasmian kemiskinan di seluruh Sabah mencapai objektif yang telah ditetapkan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri KPLB di sini hari ini.

Ewon berkata selain program pembasmian kemiskinan, program lain yang akan diberi tumpuan ialah memberikan nilai tambah program Mesej, terutamanya pelancongan desa dan pembinaan jalan luar bandar menggunakan teknologi terkini berasaskan getah .

Mengenai penjenamaan semula institusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) di negeri ini, beliau berkata ia melibatkan penukaran nama institusi, tatacara pelantikan, bilangan keahlian jawatankuasa, elaun dan lain-lain hal yang berkaitan.

“Nama baharu itu tidak semestinya mengikut nama yang dibuat di Semenanjung iaitu Majlis Pengurusan Komuniti, tetapi kita mahu satu identiti Sabah yang tersendiri, menunjukkan kita ada sistem pentadbiran tersendiri.

“Cara pemilihan JKKK pun akan berubah kerana rakyat mencadangkan kepada saya bahawa demokrasi pemilihan seharusnya bermula dari peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau juga bersetuju pemilihan pengerusi (JKKK) dipilih oleh penduduk kampung berkenaan dan pada masa yang sama, pihaknya perlu perhalusi siapa yang layak dipilih.

Menurutnya, perkara itu dijangka dibentangkannya dalam mesyuarat kabinet negeri bulan ini. – Bernama