Sabah perkenal perangkap nyamuk MyMat

KOTA KINABALU, 13 MEI – Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan memperkenalkan Perangkap Nyamuk Autocidal (MyMAT) dalam usaha memerangi nyamuk Aedes yang menjadi punca penyebaran demam denggi di negeri itu.

Ketua Penolong Pengarah (Entomologi) JKNS Mohd Azrool Rizal Mohd Azahari berkata penggunaan MyMAT itu dijangka dilancarkan dalam tempoh terdekat ini dengan Taman Fajar di Sandakan menjadi kawasan percubaan penggunaan alat itu kerana merupakan antara tempat  ‘hotspot’ pembiakan nyamuk Aedes.

“Kawasan hotspot denggi adalah sasaran utama untuk penggunaan MyMAT. Ia akan melibatkan kawasan perumahan dan tempat-tempat di rumah sendiri seperti rak kasut, ruang tamu dan bilik air selain kawasan sekolah terutama yang banyak pokok dan redup,” katanya kepada Bernama.

Menurut Mohd Azrool Rizal, MyMAT terdiri daripada serbuk Bacillus Thuringiensis (Bti) yang dicampur dengan air. Cecair itu mampu bertahan selama kira-kira tiga bulan bergantung suhu persekitaran manakala bekas MyMAT pula boleh bertahan sehingga 10 tahun atau selagi ia kukuh. – Bernama