Sabah perketat kawalan susulan peningkatan kes

KOTA KINABALU, 6 OGOS – Kerajaan Sabah memutuskan untuk memperketatkan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi mengawal penularan COVID-19 susulan statistik kes wabak yang meningkat di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah menunjukkan bilangan kumulatif kes positif COVID-19 pada 25 Julai lepas adalah 384 kes dan meningkat kepada 402 kes, iaitu pertambahan 18 kes pada Selasa.

Mohd Shafie berkata bilangan kes positif COVID-19 yang masih dirawat di hospital di seluruh negeri bagi tempoh ini meningkat empat kali ganda iaitu daripada empat kes kepada 16 kes.

“Kerajaan negeri memandang serius peningkatan kes positif ini dan khuatir penularan pandemik akan terus meningkat sekiranya tindakan kawalan tidak diperketatkan.

“Justeru, pihak berwajib hendaklah meningkatkan penguatkuasaan SOP, selain orang ramai diwajibkan memakai penutup mulut dan hidung di tempat awam dan kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau pensanitasi tangan serta sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shafie berkata pengusaha premis perniagaan juga hendaklah mengehadkan bilangan pelanggan di dalam premis pada satu-satu masa dan jumlah itu bergantung kepada saiz premis serta memastikan laluan keluar masuk berasingan, selain memperketatkan saringan kesihatan. – Bernama