‘Sabah perlu bersedia lebih awal’

BELURAN, 26 JAN – Persediaan lebih awal melibatkan semua agensi kerajaan perlu dilakukan dalam menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka membawa hujan lebat berpanjangan dan mengakibatkan bencana banjir, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau berkata Monsun Ti-mur Laut yang mengakibatkan banjir sememangnya sesuatu yang dijangka berlaku saban tahun, bagaimanapun pihak berkaitan sering mengambil tindakan secara ad hoc atau apabila diperlukan dan kelaziman ini perlu diubah.

“Lebih baik kita membuat satu pertahanan (persiapan) awal daripada kita menunggu bencana berlaku, seharusnya semua agensi kerajaan dikerah untuk memantau pergerakan (monsun) ini daripada awal…jangan kita tunggu sudah kena baru kita buat tindakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau meninjau Jalan Nangoh Paitan Kanibungan yang runtuh akibat hujan lebat pada 19 Januari lepas di Paitan dekat sini.

Beliau berkata fenomena banjir bukan sahaja menjejaskan kehidupan rakyat dan menyebabkan tanah runtuh serta jalan rosak, malah turut mengganggu penyaluran bekalan air bersih kepada rakyat kerana kerosakan sistem paip air bawah tanah. – Bernama

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Seri Bung 
Moktar Radin (kiri) diberikan penerangan mengenai proses membaikpulih jalan utama Nangoh Paitan Kanibungan yang putus akibat tanah runtuh sewaktu mengadakan lawatan, kelmarin. – Bernama