Sabah perlu pasang mesin pengimbas kesihatan

SEMPORNA, 8 SEPT – Sudah sampai masanya Sabah perlu memasang mesin pengimbas kesihatan di semua pintu masuk antarabangsa di negeri ini, sebagai langkah menangani penyebaran virus luar menerusi pelancong, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong.

Beliau, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, cadangan itu selari dengan keperluan memandangkan kemasukan pelancong antarabangsa ke negeri ini khususnya di Semporna adalah menggalakkan dengan purata 3,000 pelancong sehari.

“(Sebab itu) kita perlu selidik (tahap) kesihatan pelancong ini kerana mereka datang daripada persekitaran yang tidak sama dan berkemungkinan boleh membawa virus serta memberi kesan kepada penduduk setempat.

“Kalau kita di sini (Semporna), terkenal dengan penyakit kolera dan denggi, tetapi pada hari ini, (berdepan) pelbagai penyakit yang ada dan antara faktornya

adalah kemasukan pelancong dari merata dunia,” katanya kepada pemberita pada Karnival Gegas Kesihatan Pulau Bum Bum dekat sini, anjuran Panel Penasihat Klinik Kesihatan Pulau Bum Bum serta Pejabat Kesihatan Semporna, hari ini.

Menurut Jaujan, setakat Januari hingga Ogos tahun ini, Sabah menerima kemasukan dua juta pelancong antarabangsa, dengan 90 peratus pelancong China ke Semporna.

“Hal ini perlu diambil perhatian oleh pihak berkuasa sama ada Kementerian Pelancongan dan kementerian saya. – Bernama