Sabah peruntuk RM18.2 juta bantu mangsa kebakaran Tawau, Semporna

TAWAU, 6 APRIL – Kerajaan Sabah memperuntukkan RM18.2 juta untuk membantu mangsa kebakaran membina semula rumah dan infrastruktur yang rosak dalam kejadian pada 17 Mac di sini dan pada 2015 di Semporna, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak RM10 juta diperuntuk untuk mangsa warga tempatan Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas di sini, manakala RM8.2 juta untuk penduduk tempatan Kampung Bangau-Bangau di Semporna.

“Ini menunjukkan kerajaan kita prihatin dengan nasib mangsa kebakaran yang mengalami kesusahan ketika Ramadan, mudahan bantuan ini akan dapat meringankan bebanan mangsa, jadi inilah tanggungjawab kita untuk memastikan setiap rakyat akan dapat dibantu terutama dalam masa mereka diuji bencana.

“Lebih 1,000 ketua isi rumah yang terjejas dalam kebakaran di kedua-dua lokasi berkenaan akan mendapat manfaat daripada peruntukan ini, dengan 608 ketua isi rumah adalah rakyat tempatan di Tawau,” katanya kepada pemberita selepas program penyerahan sumbangan itu di sini hari ini.

Kebakaran rumah di Kampung Kurnia Jaya memusnahkan 658 rumah melibatkan hampir 3,500 mangsa, manakala kejadian kebakaran di Kampung Bangau-Bangau membabitkan 435 rumah dengan 2,768 mangsa.

Hajiji berkata kerajaan mempunyai perancangan membantu mangsa kebakaran atas air namun perkara itu kadang akan mengambil masa kerana melibatkan penelitian pelbagai faktor.

“Harapan kita (kerajaan negeri) supaya semua mangsa kebakaran ini mendapat rumah selesa untuk mereka tinggal sekali gus membantu mereka melancarkan kelangsungan hidup,” katanya lagi.

Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri juga meluluskan pembayaran bonus RM500 kepada penjawat awam negeri gred N54 dan ke bawah, dan RM250 bagi pesara sempena sambutan Hari Raya dan Pesta Menuai tahun ini dibayar sebelum sambutan tersebut. – Bernama

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor (dua, kanan) menyampaikan sumbangan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada salah seorang ketua isi rumah (KIR) yang terbabit dalam kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas pada majlis penyampaian sumbangan itu di Dewan Masyarakat Tawau semalam. – Bernama