Sabah rancang program untuk penanaman limau bali

KOTA KINABALU, 20 MEI – Selaras dengan Pelan Pembangunan Pertanian Sabah 2021-2030, negeri Sabah melalui Koperasi Pembangunan Desa (KPD) sedang merancang dan merangka beberapa program bagi memudahkan penglibatan penduduk Sabah dalam penanaman limau bali.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Junz Wong berkata satu ekar tanaman limau bali mampu menghasilkan lapan tan limau dengan pendapatan sehingga RM20,000 setahun.

Oleh itu, kerajaan negeri akan berperanan sebagai fasilitator untuk menghubungkan entiti-entiti yang berbeza agar menjadi sebuah ekosistem yang mampan.

“Antara pihak yang turut terlibat dalam usaha ini adalah STF Agriculture iaitu pengusaha bahan tenusu yang juga membekalkan baja dan juga pengusaha lain atau agensi kerajaan seperti KPD yang menawarkan perkhidmatan sebagai pusat pengumpulan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Junz berkata dengan cara itu petani tidak perlu bimbang hasil tidak terjual, pengeluar baja tidak perlu bimbang jika baja tidak terjual dan pengusaha hiliran tidak sukar mencari bahan mentah.

Katanya, ekosistem mampan seperti itu akan menjamin keadaan ‘menang-menang’ untuk semua pihak. – Bernama