Sabah, Sarawak tidak terkecuali dalam prihatin

PUTRAJAYA, 27 MAC – Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri, khususnya di Sabah dan Sarawak, bagi memastikan semua bantuan seperti diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang disediakan kerajaan sampai dengan cepat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau menyedari mereka yang berada di rumah panjang di Sarawak, petempatan orang asal serta kawasan yang jauh di pedalaman di segenap ceruk rantau negara ini mungkin bimbang bantuan yang disediakan kerajaan lambat sampai.

“Untuk itu, Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri, khususnya di Sabah dan Sarawak, untuk pastikan semua bantuan yang disediakan oleh kerajaan sampai dengan cepat,” katanya ketika mengumumkan pakej rangsangan itu bernilai RM250 bilion, yang turut disiarkan menerusi televisyen hari ini.

Muhyiddin berkata selain memastikan aktiviti ekonomi negara berterusan, kerajaan akan memberi tumpuan kepada aktiviti pelaburan domestik yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi dan mengekalkan pekerjaan. – Bernama

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada Perutusan Khas Pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM250 bilion di Bangunan Perdana Putra kelmarin. – Bernama