Sabah sasar 400,000 hektar ladang hutan

KUALA LUMPUR, 8 SEPT – Sabah menyasarkan 400,000 hektar ladang hutan menjelang 2035 sebagai langkah pengurangan kebergantungan terhadap kayu balak di hutan simpan, di samping mengukuhkan tanaman hasil kayu di negeri itu.

Ketua Bahagian Pengurusan Hutan Lestari, Jabatan Perhutanan Sabah, Musa Salleh berkata setakat ini, 106,000 hektar ladang sudah dibangunkan dengan kos RM1.6 bilion.

Beliau berkata industri balak masih menjadi penyumbang utama ekonomi Sabah, selain memastikan pengurangan jumlah konsesi pembalakan sebagai langkah proaktif dalam menggalakkan pengurusan hutan mampan (SFM) dan untuk itu penting memastikan pelan jangka panjang.

“Pada 2031, Sabah menyasarkan 6 juta meter padu kayu dari ladang hutan akan dikeluarkan secara konsisten sehingga tahun seterusnya,” katanya.

Beliau berkata semasa webinar ‘Perhutanan: Pengurusan Hutan Tak Lapuk Dek Hujan, Tak Lekang Dek Panas’, anjuran JPSM, Jabatan Hutan Sarawak dan Jabatan Perhutanan Sabah. – Bernama