Sabah sasar buka semula pelancongan antarabangsa 1 Sept

KOTA KINABALU, 5 JULAI – Kerajaan negeri Sabah menyasarkan untuk membuka semula pintu kepada pelancong antarabangsa menjelang 1 September tahun ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew.

Beliau berkata, pembukaan semula itu akan dilakukan dengan melihat kepada keadaan semasa pandemik COVID-19 dan juga nasihat daripada Kementerian Kesihatan di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kami menantikan pembukaan semula sektor antarabangsa (pelancong), tetapi kami akan sangat selektif,” katanya kepada pemberita selepas melawat pasar malam Api-Api di Jalan Gaya di sini malam tadi.

Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata agensi di bawah kementeriannya, terutama Lembaga Pelancongan Sabah (STB) selalu mengikuti maklumat berkaitan perkara itu dari negara lain.

Beliau berkata kerajaan negeri telah membuka semula sektor pelancongannya secara berperingkat dengan membenarkan operasi pasar malam di Jalan Gaya itu. – Bernama