Thursday, January 23, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sabah sasar kurangkan kesan perubahan iklim

    KOTA KINABALU, 14 DIS – Sabah akan menjadikan usaha mengurangkan kesan perubahan iklim sebagai agenda utama kerajaan negeri menerusi beberapa langkah dan inisiatif diperkenalkan bagi merealisasikan matlamat itu, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

    Beliau berkata komitmen itu antara lain dapat dilihat menerusi sasaran kerajaan Sabah untuk menanam kira-kira 36 juta pokok dalam tempoh lima tahun sehingga 2025 melalui inisiatif Program Penghijauan Malaysia seluruh negara bertemakan “Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita”.

    Setakat ini, hampir 4.5 juta pokok telah ditanam di seluruh negeri menerusi program tersebut, katanya.

    “Sabah juga menubuhkan Majlis Tindakan Perubahan Iklim di bawah bidang kuasa Jabatan Perhutanan Sabah bagi membincangkan dasar dan tindakan perubahan iklim, memacu pertumbuhan ekonomi hijau, memangkin teknologi hijau serta pertumbuhan rendah karbon.

    “Ia sejajar dengan dasar Sabah mengenai alam sekitar serta aspirasi negara terutama dalam proses mitigasi dan adaptasi iklim.

    “Perubahan iklim adalah antara aspek utama di dalam dasar dan kami komited mengambil semua langkah perlu bagi memastikan kualiti udara di negeri ini tidak akan merosot akibat aktiviti pembangunan,” katanya merasmikan Persidangan Antarabangsa Perubahan Iklim Sabah 2021, hari ini.- Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda