Sabah sedia 195 pusat agihan vaksin COVID-19

KOTA KINABALU, 4 MAC – Kerajaan negeri Sabah menyediakan 195 pusat pengagihan vaksin termasuk di kawasan pedalaman bagi memastikan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat negeri lancar, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata penyediaan pusat pengagihan vaksin itu juga sebagai usaha untuk memastikan semua lapisan rakyat Sabah dapat menerima suntikan vaksin COVID-19 menerusi program itu, yang akan dilaksanakan secara berfasa.

“Kami (kerajaan negeri) berharap program imunisasi ini akan berjalan dengan baik sekali gus sampai kepada setiap pelosok rakyat Sabah dan mereka menerima suntikan vaksin berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program itu di sini hari ini.

Terdahulu, Hajiji menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech, selain Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Shahelmy Yahya, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali dan Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah Dr Christina Rundi. – Bernama

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech oleh jururawat Kesihatan Awam, Jayelien binti Paungin pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Serba guna, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Negeri Sabah. – Bernama