KOTA KINABALU, 5 FEB – Kerajaan negeri Sabah telah menetapkan langkah-langkah yang diperlukan untuk menangani koronavirus novel 2019 (2019-nCoV) dan bersedia sepenuhnya untuk mengendalikan kes itu jika ada di negeri ini.
Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon berkata, pada masa ini, tiada kes disahkan koronavirus di Sabah, bagaimanapun hospital-hospital di negeri ini bersedia untuk menanganinya.
“Sebaik sahaja terdapat kes disyaki di Sabah, Jabatan Kesihatan Sabah akan mengklasifikasikan pesakit sebagai Pengesanan Kes Yang Disyaki (PUI) dan memulakan proses pemantauan epidemik untuk memeriksa sama ada mereka dijangkiti koronavirus novel atau tidak, termasuk menempatkan PUI di wad pengasingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Poon berkata makmal kerajaan di Kota Kinabalu mempunyai kapasiti untuk menjalankan ujian bagi koronavirus. Beliau berkata ujian itu boleh dijalankan dan diproses di Sabah tanpa perlu dilakukan di Kuala Lumpur.
Ini, katanya, akan membolehkan pengesanan dan pengesahan status bagi PUI yang lebih cepat.
Poon hari ini diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi dan beberapa pegawai dan pakar mengenai langkah pencegahan untuk menangani virus itu di Pusat Kesediaan Krisis dan Tindak Balas di jabatan itu. – Bernama




























