Sabah sediakan 35,000 benih Musang King

KOTA KINABALU, 6 APRIL – Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah melalui Jabatan Pertanian Sabah (JPS) telah menyediakan sebanyak 35,000 benih durian Musang King bersubsidi berkualiti tinggi untuk diagihkan kepada petani di seluruh negeri ini.

Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah I Datuk James Ratib berkata setakat ini, JPS telah mengagihkan lebih 20,000 subsidi benih berkenaan dan selebihnya diagihkan kemudian setelah lebih banyak bekalan benih durian Musang King yang terhad itu diperoleh.

“Setiap petani yang layak akan menerima 50 hingga 200 benih durian Musang King bergantung kepada keluasan tanah pemohon,” katanya kepada pemberita selepas melawat Projek Tanaman Durian Musang King oleh syarikat ZamriAgroFarm di Kinarut dekat sini, hari ini. – Bernama

Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Datuk James Ratib (tiga, kiri) diberi penerangan berkenaan penanaman anak pokok Durian Musang King ketika melawat Projek Tanaman Durian Musang King dan Durian Duri Hitam di Kampung Kawang Papar. –Bernama