Sabah siap sedia laksana program imunisasi COVID-19

KOTA KINABALU, 25 FEB – Kerajaan Negeri Sabah telah melakukan segala persiapan yang diperlukan bagi memastikan kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata persiapan itu termasuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 di bawah Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong.

“Di peringkat daerah dan akar umbi, pegawai daerah serta pemimpin komuniti di kawasan terbabit akan memainkan peranan masing-masing dalam melaksanakan program ini.

“Sabah telah membuat persiapan yang diperlukan serta bersedia untuk melaksanakan usaha vaksinasi ini,” katanya dalam mesyuarat libat urus menerusi sidang video dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang juga pengerusi bersama Jawatankuasa Khas bagi Memastikan Akses Kepada Bekalan Vaksin COVID-19 di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini hari ini.

Turut hadir Safar, Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi dan Pengarah Bahagian Keselamatan Negeri Sabah Sh Sitti Saleha Habib Yussof.

Hajiji sependapat dengan Khairy mengenai keperluan menubuhkan unit bergerak bukan hanya untuk memberikan suntikan vaksin tetapi juga mendaftarkan mereka yang berada di kawasan yang jauh.

Dalam hal ini, beliau berkata langkah sewajarnya turut diambil bagi menyebarkan maklumat dalam pelbagai bahasa etnik berhubung program itu di peringkat akar umbi menerusi sumber Jabatan Penerangan.

“Kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Sabah hari ini dan program vaksinasi akan dijalankan dalam tiga fasa dengan yang pertama kepada petugas barisan hadapan (104,130 orang) dan fasa kedua bagi kumpulan berisiko tinggi (kira-kira 268,000 orang). – Bernama

Pesawat khas yang membawa kumpulan pertama bekalan vaksin Pfizer-BioNTech untuk Sabah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) tengah hari, kelmarin. – Bernama