Sabah sokong isytihar darurat di Batu Sapi

KOTA KINABALU, 18 NOV – Kerajaan Negeri Sabah menyokong sepenuhnya keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi yang sekali gus membatalkan pilihan raya kecil kerusi itu.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata ia merupakan keputusan yang bijak memandangkan pandemik COVID-19 terus mengancam kesihatan dan kesejahteraan rakyat di Sabah.

“Keperluan menghentikan penyebaran virus itu dan melindungi kesihatan rakyat adalah amat penting,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Al-Sultan Abdullah hari ini mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Hajiji memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Sabah bekerjasama tanpa henti dengan pihak berkuasa yang berkenaan untuk mengatasi pandemik tersebut di negeri itu.

Sementara itu, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee yakin pengundi di Batu Sapi berasa lega dengan pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong di kawasan parlimen itu.

“Memandangkan semakin seriusnya pandemik COVID-19, termasuk di Sandakan, saya percaya masyarakat umumnya menerima pengisytiharan darurat di Batu Sapi, yang kesannya ialah penyebaran COVID-19 dapat diminimumkan atau dielakkan sepenuhnya.

“Oleh itu, saya percaya rakyat berasa lega kerana pilihan raya kecil Batu Sapi ditunda sehingga risiko jangkitan dan berakhirnya penularan COVID-19,” katanya ketika dihubungi. – Bernama

Gambar bertarikh 16 November menunjukkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor meneliti dokumen sebelum Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bermula di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah. – Bernama