Sabah terima manfaat terbesar di bawah NFCP 1

KUALA LUMPUR, 12 OGOS – Sabah mendapat manfaat terbesar dalam pelaksanaan Projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara 1 (NFCP 1) dengan pembinaan 50 menara telekomunikasi di negeri itu, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Beliau berkata bilangan itu adalah 32.9 peratus daripada keseluruhan 152 tapak melibatkan 93 mukim di seluruh negara, merangkumi lapan negeri iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Terengganu dan Sabah.

“Dianggarkan bahawa 40,000 penduduk di kawasan yang terlibat akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek ini.

“Inisiatif ini dijangka siap dalam tempoh 12 bulan bagi 147 tapak, manakala 24 bulan untuk baki lima tapak lagi memandangkan lokasinya yang agak jauh di pedalaman,” kata-nya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.