Sabah terus komited tingkat kualiti pendidikan

KOTA KINABALU, 11 April –  Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkata kerajaan Sabah terus komited untuk meningkatkan kualiti pendidikan bagi melahirkan masyarakat yang berilmu dan berpendidikan tinggi di negeri ini.

Beliau berkata tumpuan utama kerajaan adalah untuk meningkatkan mutu pendidikan rakyat dan merapatkan jurang tahap pendidikan murid di kawasan bandar dan luar bandar.

“Antara usaha yang akan dilaksanakan oleh kerajaan ialah pembinaan dan penambahbaikan sekolah khususnya sekolah-sekolah daif, peningkatan liputan Internet ke sekolah-sekolah dan penyediaan kelengkapan serta fasiliti pendidikan yang mencukupi.

“Kerajaan juga akan meneruskan tawaran biasiswa dan bantuan pendidikan kepada para pelajar di negeri ini. Bagi membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah, kerajaan telah menyediakan 20 peratus kuota penawaran Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah kepada pemohon yang cemerlang daripada kelompok keluarga B40,” katanya.

Juhar berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan negeri sempena pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga telah mengambil inisiatif mewujudkan Pangkalan Data Pelajar bagi memastikan tiada pelajar yang layak tercicir daripada menerima biasiswa, dermasiswa dan pinjaman.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan juga amat menitikberatkan pembangunan golongan wanita di negeri ini bagi mengarusperdanakan peranan dan penglibatan wanita dalam memajukan negeri.

“Oleh itu, kerajaan telah menetapkan agar sekurang-kurangnya 20 peratus dalam kalangan golongan wanita di negeri ini dilantik di peringkat pembuat keputusan sebagai ahli dalam Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Di samping itu, kerajaan turut menubuhkan Pusat Bantuan Guaman Wanita untuk memberi bantuan guaman kepada golongan wanita yang merangkumi nasihat guaman dan bantuan peguam untuk mewakili mereka di mahkamah,” katanya.

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin ketika menyampaikan ucapan dasar sempena istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-15 bermula di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini. – Bernama