Sabah tidak bincang dengan kerajaan pusat kebenaran masuk pekerja China

PUTRAJAYA, 3 JULAI – Kerajaan Negeri Sabah tidak pernah berbincang dengan kerajaan Persekutuan berhubung keputusan membenarkan pekerja asing dari China masuk ke negeri itu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata di peringkat persekutuan, kerajaan masih menutup pintu negara kepada pekerja warga asing, kecuali ekspatriat kategori EP1 (pengurusan tertinggi) yang tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“China, sebuah negara yang besar dan masih dianggap sebagai kawasan berisiko tinggi dan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih berbincang mengenal pasti kawasan-kawasan merah dan hijau di negara itu,” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Rabu lepas, Kerajaan Negeri Sabah dilaporkan membuat keputusan membenarkan pekerja asing dari China masuk ke negeri itu tertakluk kepada segala peraturan yang ditetapkan sepanjang PKPP termasuk melakukan ujian saringan COVID-19 di tempat masing-masing dalam tempoh tiga hari sebelum masuk ke Sabah dan disahkan bebas daripada pandemik berkenaan. – Bernama