Sabah timbang cadangan bina PPS khas kekal

KOTA MARUDU, 5 JAN – Kerajaan Sabah akan mempertimbangkan cadangan untuk membina pusat pemindahan sementara (PPS) khas secara kekal, terutama di kawasan kerap banjir di negeri itu, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata cadangan itu wajar diberi perhatian, memandangkan beberapa daerah yang sering dilanda banjir berdepan masalah kekurangan PPS, bagi menempatkan semua mangsa terlibat dalam bencana berkenaan.

“Jika ia (PPS khas) menjadi keperluan utama setiap kali banjir, maka kerajaan akan mempertimbangkan cadangan itu, kerana tempat pemindahan sementara tidak cukup atau tidak ada (di kawasan terjejas banjir),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan bakul makanan dan wang ihsan RM1,000 kepada ketua isi rumah terlibat banjir di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan beberapa wakil rakyat di daerah terlibat banjir mengenai keperluan membina PPS khas, memandangkan PPS sedia ada tidak mencukupi selain untuk memudahkan pengurusan mangsa banjir.

Hajiji juga meminta semua jabatan berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Pihak Berkuasa Tempatan di Sabah, membuat perancangan menyeluruh bagi mengurangkan impak dan implikasi bencana banjir pada masa akan datang, dengan mengambil kira aspek mitigasi banjir. – Bernama

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor (kiri) bertanya sesuatu kepada mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara di Sekolah Kebangsaan Pitas Dua ketika melakukan lawatan dan menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Daerah Pitas, semalam. – Bernama